Kalau kita sentiasa ingatkan seseorang, itu tandanya orang itu juga turut sama sentiasa ingat tentang kita. Benarkah begitu? Mudah-mudahan begitulah. Hati yang ikhlas tidak pernah menyesal apa-apa. Kalbu manusia tiada siapa dapat meneka. Hanya Allah Azza Wa Jalla sahaja Yang Maha Mengetahui. Jiwa kita milik-NYA. Tiada apa yang mutlak milik kita, semuanya pinjaman dari-NYA.
Andai hati mengingati perkara baik tentang manusia yang lain, dengan gelombang minda ia bersua. Mana mungkin kita tahu atau sedar. Ia urusan Allah semata-mata. Barangkali jua begitu pada pertalian ibu dan anak, suami dan isteri, pasangan kembar, kawan rapat dan sahabat sejati mudah berlaku pertembungan yang dicetus oleh bicara ‘kebetulan saya juga fikir begitu’. Atau ‘ baru sebut tiba-tiba muncul.’ Adakalanya melihat sesuatu, apabila bertembung muka lalu lah berbahasa mata, berdiam lisan mencorak senyum atau ada tika terlepas tawa. Padahal mulut belum pun mengeluar suara. Minda terlebih dahulu menghantar makna yang dibawa mata. Ada senarionya, tubuh badan berada jauh namun jiwa tetap dekat dirasa kerana hati tidak pernah lupa. Walaupun tidak bertemu muka bertentang mata sekian lamanya. Begitulah indahnya jiwa manusia ciptaan Allah Taala.
Namun begitu, tidak semestinya orang yang kita ingati akan mengingati kita juga. Jika demikian, tidaklah perlu untuk kita tidak mengingati kerana islam itu keindahan, saling mengingati, saling bersillaturahmi. Damai nya islam mendidik manusia agar berkasih sayang. Suatu nikmat yang tiada taranya mempunyai perasaan yang indah terhadap insan lain. Adakalanya tidak semua yang diharapkan menjadi kenyataan. Ada mahu nya yang lain, lain pula yang dapat. Puas merancang itu dan ini, lain pula yang jadi. Impian tidak kesampaian dan kemudian dengan perlahan-lahan ingatan itu padam perlahan-lahan. Ada sesetengah orang mudah sahaja untuk melupakan sesuatu kenangan. Namun ada sesetengah insan yang lain menghapuskan kenangan indah atau tiada indah sekalipun bukanlah sesuatu yang mudah. Dan perasaan itu tersimpan. Jika dibajai dengan sabar dan iman, ia disimpan menjadi permata yang tiada dendam, rela memaafkan dan rindu kerana Yang Maha Penyayang. Demikianlah indahnya perjalanan hidup insan yang saling menjaga ukhwah dan sentiasa ingat segalanya milik ALLAH.
15 JamadilAkhir 1433H, May 7, 2012M
No comments:
Post a Comment