Monday 21 May 2012

White Sweet Narcissus

Mehnah dan ibtila bukan kawan akrab kehidupan tetapi tribulasi singkat yang singgah untuk seorang hamba redha dengan ujian kesempitan dan kesusahan yang sang Pencipta berikan. Ladeni mehnah dan ibtila kehidupan dengan keikhlasan dan kelembutan hati kepada sang Pencipta. Jauhkan hati dari berprasangka kepada NYA. Allah berfirman kepada malaikatNYA yang bermaksud: "Pergilah kepada hambuKu. Lalu timpalah bermacam-macam ujian kepadanya kerana Aku mahu mendengar suaranya."
Daripada Abu Umamah, HR Tabrani.
Hadis ini mengingatkan kesenangan dan kesusahan adalah sunatullah, ujian yang Allah berikan kepada hambaNYA. Beranggapan kehidupan ini adalah kesenangan sahaja atau kesusahan selama-lamanya adalah silap kerana ia datang silih berganti sesuai dengan qadak dan qadar seseorang hamba itu.

Firman Allah di dalam surah al-Kahfi: ayat 7-8 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi itu sebagai perhiasan, agar kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik amal perbuatannnya.”
Allah SWT menyayangi dan mengasihi hamba-hambaNYA. Dia mendatangkan ujian ke atas  hambaNYA untuk menguji siapakah di antara hamba-hambaNYA yang terbaik amalnya dan Yang Terbaik amalnya itu adalah orang terbaik di sisi Allah. Setiap hamba pasti akan diuji. Tiada yang terlepas daripada ujian kehidupan.
Ujian yang Allah datangkan kepada hambaNya tidaklah berupa kesusahan, kesulitan dan kesakitan semata-mata. Ujian dan cubaan akan datang kepada mereka dalam bentuk kesenangan, kemewahan dan kekayaan. Ini secara terang di dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan kami akan uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali.” (Surah al-Anbia, ayat 35).

Allah berikan ujian kepada hambaNYA baik yang menimpa tubuh badan sang hamba itu sendiri, kepada anak, harta kekayaan, pengaruh, pangkat, akidah dan sebagainya di dalam pelbagai bentuk mehnah dan ibtila. Tujuan Allah memberi ujian adalah untuk melihat siapakah orang yang benar-benar teguh keimanannya, untuk menghapus dosa dan menguji kesabaran hambaNya supaya benar-benar menjadi seorang mukmin yang  diredhai.     

 
1 Rejab 1433H, May 22 2012M

"Sesungguhnya ALLAH tidak menganiaya manusia sedikitpun. Tetapi manusialah yang menganiaya diri mereka sendiri." Surah Yunus: 44

No comments:

Post a Comment